Waktu kecil-kecil, mak dan abah selalu galakkan saya berdoa setiap kali berbuat sesuatu. Ada yang sudah kurang diamalkan, ada yang ditinggalkan, ada yang masih sitiqamah saya lakukan. Antaranya adalah doa menaiki kenderaan.
"Subhanallazi sakhharalanaa haaza wa ma kunna lahu muqriniina wainna ilaa Rabbina lamun qalibuun"
Kami adik beradik akan membaca penuh bersemangat setiap kali perjalanan dimulai. Abah kata, baca doa ini untuk lindungi daripada kecelakaan jalanraya.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Dr Teo, pakar perubatan kecemasan di Hospital Pulau Pinang sedang memberitahu kami mengenai kemalangan jalanraya.
"Do you know that the kind of people who are involved in road traffic accidents are people like you? Young, impatient, tired, rushing to work, to class...who does that describes? You!"
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Hujan sedang lebat mencurah-curah, saya sedang memandu di Lebuhraya sekitar kawasan Jawi dengan kelajuan 100 km/j. Lampu dibuka seterang-terangnya supaya kereta Wira hijau saya ini jelas kelihatan oleh orang lain.
Memandu sebegini mungkin menakutkan bagi orang lain, tetapi bagi saya ianya satu kebiasaan. Kerana sudah selalu bermusafir dari Kuala Lumpur-Penang-Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan yang sering ditumpahi hujan mencurah-curah yang menjadikan suasana sungguh merbahaya.
Anyway.
Kereta wira hijau yang dipinjamkan abah berada di lorong kanan. Di lorong kiri sbeelahnya, dan hadapan sedikit ada kereta putih, tidak pasang lampu walaupun hujan lebat. DI belakang kereta saya ada MPV hitam. Yang sedang dipandu dengan lajunya...
Dan secara tiba-tiba MPV tersebut memecut dan memotong saya dari kiri, hampir-hampir melanggar kereta putih di hadapannya. DIa mengelak...dan....BANGGG!!!!...terlanggar divider jalan...
Lalu di hadapan mata saya sendiri MPV yang besar itu berpusing-pusing ala-ala dalam cerita Impak Maksima. Gara-gara mahu mengelak daripada melanggar MPV tersebut dan serpihan-serpihan yang terbang tatkala MPV itu hancur melanggar divider, kereta saya pun turut sama. Terpusing-pusing...
Berpusing-pusinglah kami sampailah ke sisi lebuhraya, menuju arah tanah curam yang di dasarnya ada sebatang parit. Saya dan kawan-kawan dalam kereta itu menjerit, takut dan panik. Ketika hampir ke sisi curam itu, otak aku hanya menjerit satu perkataan "BRAKEEE!!!".
Mujur, kaki menurut. Jika tidak...mungkin kami akan terjun ke dasar tanah curam itu.
Dengan keadaan kereta hampir separuh bahagian belakangnya tersadai mahu menuruni tanah curam itu, saya terpaku, kaki masih kejap menekan brek. Rasanya muka sudah pun pucat tak berdarah, dan dari belakang terdengar suara Kak Rozie memanggil-manggil nama saya. Dan Shu menggenggam erat tangan. Tak semena-mena saya menangis. Terkejut. Ya Rabbi, kami hampir terhempas tadi!
Lepas kejutan itu reda sedikit, saya pandu kereta itu naik ke atas supaya lebih stabil. Sekarang kami berada di lorong kecemasan. Fauzah yang memandu di belakang kami, telah ternampak apa yang berlaku dan berhenti lebih kurang 200 meter depan kereta saya. Fauzah, Amalia, Ain, Nisah dan Afzan bergegas utnuk memastikan kami tak apa-apa. Kemudian mereka pergi melihat nasib MPV itu. Sudah pun tersadai di dasar tanah curam itu, tetapi penumpangnya tidak apa-apa. Setakat luka-luka kecil sahaja.
Kemudian kami semua keluar dari kereta saya dan berdiri di tepi lorong kecemasan. Tiba-tiba, tak sampai sepuluh minit selepas kejadian itu, berlaku satu lagi kejadian yang lebih ngeri, di hadapan mata kami sendiri...
Sebuah kereta tiba-tiba bergerak perlahan, mendorong kereta di belakangnya menghentam kuat. Kemudian kereta yang seterusnya pula melanggar....bang...bang...bang...bang....mahunya lima atau enam buah kereta terlibat dalam kemalangan tersebut, di hadapan mata kami sendiri.
Aduh...trauma...ada yang menjerit, ada yang menangis. Ain memeluk saya erat sementara saya sendiri sudah pun terjerit-jerit ketakutan.
Kami berlima di dalam kereta Wira hijau tidak apa-apa. Saya menyangkakan Wira hijau akan turut tercedera, tetapi SubhanalLah, tiada satu calarpun. Dalam tujuh lapan buah kenderaan terlibat dalam kemalangan hebat di Lebuhraya Utara Selatan, di kawasan yang jaraknya 18 km daripada pekan Jawi, Pulau Pinang, hanya kenderaan kami yang tidak apa-apa, dan hanya kami penumpang yang tidak apa-apa dalam kejadian tersebut. Mujur...tiada kemalangan jiwa...
AlhamdulilLah.
Jangan berfikir kamu kebal, kerana ini boleh berlaku bila-bila sahaja, di mana sahaja kepada kamu, terutamanya kamu, golongan muda, penat bekerja, berdarah panas dan kurang kesabarannya. Semoga dijauhkan!
"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali"
Terasa kerdilnya diri, di saat tidak upaya melakukan apa-apa kecuali hanya berserah padaMu...