Entry: Bila mata hampir buta.. Thursday, March 05, 2009



Hari Selasa lepas, saya bersama-sama Fauzah dan Kak Rozie pergi ke hospital selepas Maghrib kerana giliran kami on-call malam itu.

On-call di A&E (Accident and Eemergency) kadangkala menarik, kadangkala bosan. Kerana kehadiran pesakit-pesakit di ruang kecemasan itu tidak dapat diduga. Sesetengah malam, hanya pesakit-pesakit asthma, demam-demam dan luka-luka kecil sahaja yang tiba. Di malam-malam lain pula, datang bermacam-macam jenis manusia; pemabuk, orang cedera bertumbuk, terjatuh bumbung, keracunan dan kemalangan-kemalangan ngeri. Ketika kami on-call hari Selasa lepas, ruang kecemasan dipenuhi dengan kes-kes yang termasuk dalam kategori tersebut.

Terdapat seorang lelaki Cina yang berusia separuh abad hampir putus jari-jari kakinya kerana kemalangan. Eish..memang ngeri, melihatkan jari tersebut tergantung hanya pada sekeping kulit. Hampir loya saya dibuatnya. Syukur saya bukanlah jenis orang yang tidak tahan melihat darah, nanah, dan luka-luka ngeri. Waktu kecil dulu saya pernah terpijak kaca, dan serpihan itu termasuk dalam tapak kaki dan tak boleh dikeluarkan. Saya korek dan korek menggunakan kuku sehinggalah serpih itu keluar, tanpa sedikit pun rasa ngeri. Mak pula yang ngeri melihatkan darah banyak keluar. Hehehe.

Kemudian pasukan paramedik membawa masuk sekumpulan remaja yang masing-masing punya luka-luka yang bermacam jenis. Mereka terlibat dalam pergaduhan rupanya. Yang paling serius, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dilibas mukanya dengan batang besi sehingga mengenai mata kanan. Pecah orbit (tulang keliling mata) dan terkoyak kelopak bawah. Masuk jadi Kes Polis.

Doktor: Kenapa jadi macam ni?
Pesakit: Taktau laa doktor. Kami tak buat kacau, duduk-duduk je cadang nak pi kareoke. Tak pasai depa terus mai pukui.
Doktor: Awak ada sakit apa-apa? Kencing manis, darah tinggi?
Pesakit: Tak...takde...
Doktor: Ada minum?
Pesakit: Ada...
Doktor: Tadi ada minum?
Pesakit: Tak...tadi takde. Sebelum ni ada...
Doktor: Merokok?
Pesakit: Ada...

Nama tercatat di kad pesakit, nama yang sedap. Nama Muslim. AstaghfirulLah...

Setelah MA (medical assistant) membalut luka dan menghentikan pendarahan, ternampak seorang lelaki dan dua orang wanita, seorang berusia kira-kira separuh abad dan seorang lagi sudah tua; bergegas masuk ke Red Zone. Rupa-rupanya mereka keluarga budak tersebut. Bapa, nenek dan ibu saudara.

Doktor: Makcik, makcik tak boleh masuk lagi...
Nenek: Dia macam mana doktor....(nada bimbang dan menangis-nangis)
Doktor: Saya tak boleh bagi makcik masuk lagi...saya tutup dulu luka dia. Nanti makcik tengok makcik pengsan karang (sambil pegang langsir yang melindungi si nenek daripada terlihat cucunya dengan erat)

Doktor jenguk sebentar, MA sudah habis tutup luka itu.

Doktor: Makcik, encik, boleh masuk....

Nenek : Ya ALLAH....awat jadi macam ni...
Pesakit: Kami tak buat apa-apa pun maktok. Depa mai pukui tak pasai. Mana kami carik pasai ngan depa (nada defensif)
Nenek: Ye lah...tapi kan dari dulu maktok pesan, jangan duk kawan dengan budak-budak tu...jangan duk melepak...(sambil terus menangis)
Pesakit: Mana cek buat apa-apa maktok...kami nak pi nyanyi je...

Bapa budak itu tak berkata apa-apa. Terdiam saja tengok drama di depan mata...

Menjelang jam 1130 malam, saya dapati saya berada di sebelah budak itu, membantu abang-abang MA yang nampaknya tak menang tangan. Seorang pegawai perubatan sedang berusaha menghentikan pendarahan. Dia suruh saya tekan di bahagian mata yang sudah tercedera itu, tekap sampai darah berhenti...

Ya Rabbi...ngeri sungguh...

Pakar bedah mata datang dan buat pemeriksaan lanjut. Nyata mata kanan pesakit sudah cedera dipukul batang besi itu. Cornea mata, yang membantu kita melihat, sudah kemik.

Pesakit: Doktor, macam mana mata saya? Teruk ka?
Doktor: Mata kamu teruk jugalah. Kita boleh jahit, hentikan pendarahan. Tapi mungkin akan buta...

Dia terdiam. Doktor keluar buat laporan polis dan panggil waris. Tinggallah saya dan pesakit yang usianya muda setahun daripada adik saya sendiri.

Pesakit: Kak...
Saya: Hmm?
Pesakit: Akak...akak tengok mata saya teruk sangat ka?
Saya: Hm...mata awak tu, kalau dia pukul atas sikit je memang dah hancur. Yang ni dia macam termasuk sikit.
Pesakit: Saya boleh jadi buta la ye kak.
Saya: Hmm (tak tau nak jawab apa)
Pesakit: Akak, akak doa ye mata saya tak teruk sangat. Boleh tengok balik
Saya, dalam hati: Akak doakan awak ubah sikap...jadi orang yang berguna pada masyarakat..
Pesakit: Takpalah, saya buta sebelah je mata. Nanti saya carik balik sapa pukui saya ni, saya nak tengok mata dia buta dua-dua (nada otai habis)
Saya: Sudah lah tu dik, cuba adik fikir apa adik dah buat sampai jadi macam ni...

Dia diam sekejap. Tetapi selepas tu berterus-terusan dengan rungutan terhadap 'geng' yang pukul dia, nak balas dendam, dia tak buat apa tapi depa pukui sampai macam ni...eish...mendidih gak darah aku ngan budak ni...kakak-kakak nurse yang tengok dari keliling hanya geleng kepala.

Pesakit: Keluarga saya ada kat luaq ka kak?
Saya: Ada...tadi tu maktok adik, kan?
Pesakit: A ah, maktok saya tu. Dari kecik duk jaga saya.
Saya: Adik tau dak doktor tak bagi maktok tengok mata adik tadi? Takut dia pengsan?
Pesakit: Ye ke, kak
Saya: A ah. Menangis tau maktok tengok tadi. Ingat dia tak sedih? Tengok awak jadi macam ni? Tengok awak buat macam ni?

Dia diam sekali lagi. Agaknya ter'kena' dengan kata-kata saya. Dan agaknya terkesima sikit dengan nada saya yang tiba-tiba meninggi.

Pesakit: Saya tau laa kak. Saya tau saya banyak lawan dia...tapi cucu mana yang tak lawan maktok dia...

Mujur waktu itu doktor datang lagi sekali untuk teruskan pemeriksaan. Darah che' dah naik dah ni! Kalo adik aku...dah lama kena kut.

Isk sabor...sabor...

Hai dik, akak memang doa pun. Biar kau sedar silap kau kat maktok, kat ayah kau, kat mak kau, kat diri sendiri. Biar kau jadi orang berguna pada agama dan masyarakat. Walaupun mata kau dah buta sebelah, jangan mata hati kau pun turut buta.

Ameen.

   4 comments

malaysia web design
July 3, 2009   04:43 PM PDT
 
SAKIT KE PERGI HOSPITAL
kak maya
April 14, 2009   08:07 AM PDT
 
salam dik ..lama tak jenguk blog ni ..amacam duk A&E ?....rasa-rasa boleh minat tak ?
Huda
March 22, 2009   09:52 PM PDT
 
betul...itu hanya satu dalam sejuta..
izzan Fahat
March 5, 2009   06:13 PM PST
 
hurm...teruskan bjs pada anak bngsa.msh rmi lg ank bngsa kt yg sdng hanyut.bsmlh kt mbmbing mrk.dukanya ht tiada kepalang...:(

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments